Kota Kinabalu - A group of Religious and Priests of…
Pertemuan Tahunan PADUAN
Kota Kinabalu – Sekumpulan Religius dan paderi dari berbagai pertubuhan, yang lebih dikenali dengan nama PADUAN, menyatakan bahawa mereka merasa disegarkan dan bersyukur atas waktu yang telah diluangkan bersama dalam suatu pertemuan baru- baru ini jauh dari kesibukan harian mereka.
Pertemuan PADUAN pada tahun ini telah diadakan di St. Bede’s Kokob, Ranau pada 28 – 29 Oktober 2024.
Perhimpunan semalaman itu dihadiri oleh tujuh belas orang ahli PADUAN, para paderi dan religius yang berasal dari Paroki Bundu Tuhan dan Ranau, tetapi masing-masing giat melayani di berbagai tempat seperti Kota Kinabalu, Sandakan , Tambunan, dan bahkan ada yang melayani di luar negara.
Program hari pertama terdiri dari makan malam dan santai bersama -sama diiringi dengan hiburan ringan berbentuk karaoke. Agenda yang lebih serius telah diadakan pada hari kedua yang merangkumi doa pagi bersama sebelum sarapan disusuli dengan mesyuarat tahunan.
Fr Wilson Francis, yang dipilih menjadi pengerusi PADUAN dua tahun lalu mempengerusikan mesyuarat tersebut. Dan dalam mesyuarat kali ini beliau sekali lagi dengan sebulat suara telah dicalonkan untuk terus berkhidmat sebagai pengerusi untuk tempoh setahun lagi.
Bapa Uskup Julius Dusin Gitom dari Keuskupan Sandakan, yang juga merupakan ahli PADUAN, menjadi selebran utama dalam Perayaan Ekaristi penutup pada jam 11:15 pagi itu setelah mesyuarat tahunan selesai. Bersama nya untuk merayakan Misa Kudus ialah Fr Jalius Sading, Fr Giovanni, dan Fr Wilson, juga sebahagian dari ahli PADUAN.
PADUAN telah ditubuhkan pada tahun 2006, dengan idea yang telah dicetuskan oleh Fr Jalius Sading dan dengan kerjasama beberapa religius Sisters yang menyokong usul beliau. Sejak dari itu PADUAN telah berusaha sedaya upaya untuk tetap setia mengambil inisiatif setiap tahun untuk berkumpul bersama. Malah semua ahli sudahpun mengalu-alukan Perhimpunan PADUAN untuk tahun hadapan yang bekal diadakan di Kg. Nalapak Ranau.
Matlamat penubuhan PADUAN adalah untuk membolehkan semua ahlinya memupuk semangat kekitaan sekaligus membina kepercayaan diantara mereka, yang memudahkan mereka untuk mendapat sokongan rohani, moral dan psikologi bilamana perlu apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam perjalanan panggilan mereka. Dengan terwujudnya rasa saling percaya dan semangat saling mendorong antara sesama, diharapkan mereka tidak hanya akan tekun tetapi juga bertumbuh dengan mantap didalam kehidupan pelayanan dan pengabdian masing-masing.
Diantara semua Paroki di bawah keuskupan Agung Kota Kinabalu, Paroki Bundu Tuhan dan Ranau merupakan dua buah Paroki yang sungguh diberkati dengan bilangan Panggilan kepaderian dan religius yang agak besar. Setekat ini ada 10 paderi dan 26 religius dari kedua paroki ini. Dan mudah-mudahan akan ada lebih banyak pemuda dan pemudi yang bermurah hati untuk menyahut panggilan kasih Tuhan dalam pelayanan sebagai paderi, biarawan dan biarawati di tahun-tahun mendatang. – srbbfsp
BACA artikel ini dalam Bahasa Inggeris