KOTA KINABALU – In an unprecedented move, two members of…
Segmen Khas ‘On the Spot’ Bersama Catholic Sabah Sempena Jubili Perak Fr. Nick
Pada 6 Januari 2022, staf dari Catholic Sabah datang ke Studio Cahaya Kinabalu dan menemuramah Fr. Nicholas Stephen sempena dengan sambutan Jubili Perak Pentahbisan Kepaderiannya yang dirayakan pada 8 Januari di paroki St. Peter Claver Ranau. Sambutan ulang tahun kapaderian Fr. Nick juga telah dirayakan keesokan harinya di paroki Holy Nativity Terawi pada 9 Januari 2022.
Gereja Holy Nativity Terawi adalah tempat di mana Fr. Nick telah ditahbiskan sebagai paderi pada 9 Januari 1997, 25 tahun yang lalu. Jubili Perak merupakan satu pencapaian rahmat yang bersejarah dalam perjalanan iman dan panggilan hidup kepaderian yang harus disyukuri dan dirayakan.
Temu bual itu telah diadakan dari jam 7:30 hingga jam 9:00 malam dan disiarkan secara langsung melalui Cahaya Kinabalu Online Radio. Menurut Fr. Nick, temu bual itu merupakan program yang pertama dalam Segmen “On the Spot” bagi tahun baru 2022.
Dalam temuramah secara spontan itu, staf Linda Edward dan Sr. Bibianah telah mengajukan beberapa soalan kepada Fr. Nick berkaitan dengan pengalaman hidup dan pelayanannya sebagai seorang paderi selama 25 tahun di pelbagai paroki di Keuskupan Agung Kota Kinabalu. Perkongsian ikhlas tetapi penuh hikmah dari Fr. Nick telah menarik sebanyak 4.3K penonton yang mengikuti program tersebut melalui siaran langsung di media sosial Cahaya Kinabalu seperti Facebook, YouTube dan Twitch. Terima kasih kepada para pendengar dan penggemar Cahaya Kinabalu yang sentiasa setia mengikuti program tersebut.
Fr. Nick mengatakan bahawa temu bual dengan Catholic Sabah itu adalah suatu kesempatan yang baik di mana dia boleh menjelaskan secara terperinci sesetengah aspek dalam perkongsiannya yang mungkin kurang difahami dalam buku cendera kenangan yang disediakan khas sempena sambutan Jubili Perak kepaderiannya.
Dalam temu bual itu Fr. Nick sungguh bersyukur kepada Tuhan atas anugerah panggilan kepaderiannya yang bagi dia merupakan belaskasihan Tuhan sendiri . Tidak dapat dinafikan bahawa pelbagai bentuk cabaran yan telah dilalui dan dihadapinya sepanjang 25 tahun menggembala, tetapi bagi Fr. Nick semuanya telah berjaya dilalui dengan campurtangan dan kesetiaan Tuhan sendiri yang tidak pernah meninggalkan dia, dan juga dengan kerjasama yang Fr. Nick sendiri berikan kepada Tuhan yang berkarya dalam dirinya. Sehingga kini, Fr. Nick mengatakan bahawa dia setia berpegang teguh kepada cogan kata pentahbishannya sejak dahulu: “Tuhan, melalui salibMu, bantulah saya untuk melihat keindahan dalam keburukan, kegembiraan dalam kesedihan, cinta dalam kesakitan dan untuk melihat wajahMu dalam setiap orang yang saya temui”. (Lord, through your cross, help me to see beauty in ugliness, joy in sorrow, love in hurts and to see your face in every person that I meet).
Menurutnya juga, jika dia kekal bertahan sebagai paderi hingga ke hari ini, itu adalah kerana sebahagian besarnya adalah hasil bantuan dan sokongan doa-doa yang dia terima, bukan saja dari ahli keluarganya sendiri tetapi juga dari semua umat di pelbagai paroki dan di mana-mana sahaja. Oleh itu, Fr. Nick mengungkapkan ucapan syukur dan terima kasihnya kepada setiap mereka yang sentiasa mendoakannya. Dan seterusnya Fr. Nick juga telah memberikan kata-kata motivasi kepada para muda-mudi yang sedang mengikuti siaran langsung itu agar mereka juga dapat membuka hati dan fikiran dan membenarkan Tuhan untuk berkarya dalam diri mereka .
Apabila ditanya tentang azam baru selepas merayakan jubili Perak, Fr. Nick dengan ikhlas mengatakan bahawa dia akan meneruskan segala inisiatif baik dalam pelayanan menggereja yang telah dia mulakan sejak awal kepaderiannya sehinggalah pada saat ini. Selain daripada itu, Fr. Nick juga telah memutuskan untuk mempersembahahkan hidup kepaderiannya yang selanjutnya kepada Hati Kudus Yesus dan Hati Maria yang Tak Bernoda.
Temuramah itu diakhiri dengan ucapan terima kasih kepada Fr. Nick yang merupakan DJ dalam setiap program Cahaya Kinabalu kerana telah mengalu-alukan kedatangan Catholic Sabah untuk bertemu ramah dengannya sempena hari istimewa beliau.
Ungkapan syukur dan pujian diberikan kepada Tuhan atas berkat panggilan kepaderian yang telah dianugerahkanNya kepada Fr. Nick demi untuk kepentingan gereja dan semua umat.
Syabas dan tahniah kepada Fr. Nick atas kesetiaan melayani di ladang Tuhan yang luas sejak 25 tahun yang lalu. Semoga Tuhan akan terus memberkati Fr. Nick, agar hidup dan pelayanannya akan sentiasa membawa berkat kepada semua orang di mana-mana sahaja, sama ada di dalam dunia nyata atau dunia maya, memimpin lebih ramai lagi umat ke padang yang berrumput hijau dan ke air yang tenang. – Sr.bb,fsp
This Post Has 0 Comments