Skip to content

Perayaan Hari Hidup Bakti Sedunia semasa Perintah Kawalan Pergerakan

KOTA KINABALU – Misa Kudus Hari Hidup Bakti Sedunia (World Day of Consecrated Life, WDCL) yang dijadualkan pada 2 Februari di Katedral Hati Kudus telah dibatalkan akibat kesinambungan Perintah Kawalan Pergerakan oleh pihak kerajaan. Ini menimbulkan rasa kesedihan dan nostalgia bagi para religius yang sebenarnya menanti untuk meraikannya seperti yang biasa dilakukan pada tahun-tahun sebelumnya.

Menurut Bro Thomas Paul, SG, ketua Council of Religious (COR) Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Uskup Agung John Wong telah mencadangkan untuk mengadakan Misa online bagi para religius untuk merayakan Hari Hidup Bakti Sedunia itu tetapi COR memutuskan untuk membatalkannya, dan memberikan kebebasan kepada setiap kongregasi religius untuk meraikan bersama di komuniti masing-masing.

Sejak tahun 2007, komuniti religius di Keuskupan Agung KK – Carmelite, Franciscan Sisters (FSIC), La Salle Brothers, Montfort Brothers, Marist Brothers, Good Shepherd dan Daughters of  St Paul – selalu merayakan Hari Hidup Bakti Sedunia bersama-sama,  sempena  Pesta Yesus Dipersembahkan di Bait Allah. Perayaan itu selalunya didahului dengan triduum doa sebagai persiapan menyambut pesta tersebut pada setiap 2 Februari.

Untuk pertama kalinya dalam 13 tahun, perayaan bersama sebagai satu pertubuhan religius di Keuskupan Agung tidak dapat diadakan. Kekecewaan bertambah lagi kerana tahun ini juga merupakan peringatan perayaan yang ke-25 sejak bermulanya Hidup Bakti Sedunia pada tahun 1997.

Wabak pandemik ini menghalang atau tidak memungkinkan untuk mengadakan perayaan besar secara terbuka. Sama seperti ramai orang di seluruh dunia yang terkesan dan membataskan kebanyakan kegiatan dan aktiviti mereka, komuniti religius juga tidak terkecuali.

Walaubagaimanapun, jarak fizikal yang ditimbulkan oleh pandemik COVID-19 kepada kita semua, tidak menghentikan pelbagai komuniti religius  untuk merayakan Hari Hidup Bakti Sedunia meskipun dalam skala yang lebih sederhana dan lebih kecil namun tetap bermakna.

Berikut adalah beberapa maklumat menarik yang diterima dari pelbagai komuniti religius mengenai cara mereka menyambut perayaan pada tahun ini.

Bagi Carmelite Sisters, perayaan Misa Kudus untuk Hari Hidup Bakti Sedunia sempena Pesta Yesus Dipersembahkan di Bait Allah telah diadakan pada jam 6.30 pagi yang dirayakan oleh Fr Mattheus Luta selaku Chaplain Carmelite.

Para Franciscan Sisters di pelbagai komuniti iaitu Loreto, Purak, Stella Maris, Kiulu, Tuaran, Ranau dan Bundu Tuhan, semuanya mempersiapkan diri merayakan Hari ini dengan melakukan doa triduum dari 30 Jan sehingga 1 Feb.

Pada 2 Feb, para FSIC Sisters di Konven Loreto merayakan Misa Kudus pada jam 6:30 pagi yang dirayakan oleh Uskup Agung John Wong, bersama Fr Russel Lawrine dan Fr Gilbert Marcus, diikuti dengan sarapan pagi.

Untuk FSIC Sisters di Purak, Papar mereka merayakan Misa Pesta tersebut di Novitiate pada pukul 6.30 pagi, yang dirayakan oleh Fr Rayner Bisius. Tiga komuniti di Stella Maris Convent (Senior Sisters, Pre-Novitiate dan Stella Maris Hostel) mengadakan Misa pada pukul 10:00 pagi yang dirayakan oleh Fr Andrew Kim, diikuti dengan makan tengah hari.  

Sementara dua komuniti FSIC Sisters di Kiulu (La Foresta dan San Damiano) bergabung bersama untuk Misa Kudus perayaan pada pukul 11.00 pagi, yang dirayakan oleh Fr Erik Jerome dan Fr Postinus Kurup, diikuti dengan makan tengah hari bersama.

Para sister FSIC di Tuaran juga mengadakan Misa mereka sendiri yang diraikan oleh Fr Edward Raymond, sementara  FSIC Sisters di Bundu Tuhan dan Ranau bergabung bersama untuk Misa Kudus pada jam 6:30 pagi di St Peter Claver Ranau, yang diraikan oleh Fr Nicholas Stephen bersama  Fr Francis Tsen dan Fr Maximilliano. Sesudah Misa, mereka meraihkan pesta tersebut dengan makan tenghari bersama.

FSIC Sisters di St Michael Penampang menyertai Misa Kudus  yang dirayakan oleh Fr Andrew Kim pada jam 6:00 petang di tempat kediaman para Montfort Brothers di Penampang diikuti dengan makan malam bersama.

Sr Jossie dari kongregasi Sister Gembala Baik berkata mereka merayakan Hari Hidup Bakti Sedunia dengan mengikuti Misa Kudus online di waktu pagi. Pada sebelah petang, mereka berkumpul bersama beberapa rakan misi mereka untuk doa berkat khas bagi para religius yang dipimpin oleh Sr Imelda diikuti dengan jamuan makan bersama secara sederhana namun istimewa. Seterusnya pada pukul 5.30 petang, mereka bergabung dengan para sister dari Kongregasi mereka dalam wilayah Singapura-Malaysia untuk doa petang bersama melalui talian Zoom.

Kongregasi Marist Brothers and Daughter of St Paul berkata mereka tidak  mengadakan sebarang perayaan istimewa di komuniti mereka kecuali mengikuti Misa Kudus Online sempena Pesta Yesus Dipersembahkan di Bait Allah dan juga mengadakan doa secara peribadi dan sebagai komuniti.

Seperti kongregasi yang lain, mereka memanfaatkan surat refleksi yang diterima dari Kongregasi Institut Hidup Bakti dan Persatuan Hidup Kerasulan (Congregation for Institute of Consecrated Life and Societies of Apostolic Life). Sementara itu, La Salle Brothers tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan maklum balas.

Keuskupan Keningau juga mengadakan perayaan Hari Hidup Bakti Sedunia pada 2 Feb di pelbagai lokasi. Uskup Cornelius Piong merayakan Misa Kudus di Pusat Retret Tatal pada jam 6.00 pagi yang dihadiri oleh beberapa perwakilan dari komuniti Ordo St Clare, FSIC, Ordo Sekular Fransiskan (OFS) dan Institut Sekular Betania (ISKB).

Sementara itu, Fr Lazorous Uhin juga merayakan Misa Pesta tersebut pada waktu yang sama iaitu jam 6.00 pagi di Katedral St Francis Xavier, Keningau (KSFX) bagi anggota Betania Secular Institute yang memperbaharui komitmen mereka untuk melayani di Gereja.

Para Sisters FSIC di Nabawan bersama dengan La Salle Brother  juga memperingati Hari tersebut dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Gilbert Lasius pada pukul 6.00 petang dan mereka memperbaharui komitmen untuk hidup dalam pelayanan di ladang Tuhan. Manakala Sisters FSIC di Toboh Tambunan mengadakan Misa Kudus pada jam 7.00 pagi yang dirayakan oleh Fr Charles Chew.

Pada waktu penulisan ini, tidak sempat menghubungi Keuskupan Sandakan tentang perayaan Hari Hidup Bakti Sedunia mereka di sana, tetapi kiranya mereka juga merayakan secara sederhana tetapi bermakna.

Semua perayaan Hari Hidup Bakti Sedunia yang diadakan di pelbagai komuniti dari pelbagai kongregasi dijalankan dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan secara ketat.

Secara keseluruhan, sambutan perayaan Hidup Bakti Sedunia tahun ini telah diadakan secara sederhana oleh kerana keadaan yang tidak dapat dielakkan.  Pergaulan sosial juga sungguh terhad bukan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Walaubagaimanapun, bersama seluruh warga religius samada di tempat sendiri atau di seluruh dunia, kami tidak ketinggalan untuk mengungkapkan kegembiraan dan rasa syukur kepada Tuhan atas anugerah panggilan hidup religius yang menjadi ciri hidup dan misi sebagai religius yang dikuduskan. – Sr.Bibi,fsp

Gambar yang diambil semasa perayaan Hari Hidup Bakti Sedunia di pelbagai lokasi boleh dilihat di laman Facebook Catholic Sabah. Biar gambar-gambar tersebut ‘berbicara’ sendiri.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top