TERAWI – Seramai 40 kanak-kanak telah menerima Sakramen Pembaptisan pada…
Dalam apa keadaan pun, Uskup Cornelius ajak umat peka terhadap kehadiran Tuhan
KENINGAU – Dalam keadaan apa pun, kita harus selalu sedar bahawa Tuhan yang kita kenal adalah Allah Emanuel, Allah berserta kita, tetapi mungkin kita ada halangan sehingga tidak dapat menyedari bahawa Tuhan itu menyertai dan hadir.
Uskup Cornelius Piong berkata dalam renungannya yang bertema ‘kepekaan kita terhadap kehadiran Tuhan’ yang mengupas Injil mengenai perjalanan dua orang murid bersama Yesus ke Emaus, semasa Misa online minggu Paska ketiga, pada hari ini Apr 26.
“Kita mungkin sudah mulai terasa kawalan pergerakan ini dan mulai merasa bosan. Bagi mereka yang bekerja di hospital, mungkin sudah merasa bosan juga kerana COVID-19 ini masih tetap berada di tengah-tengah kita.
“Namun Sabda hari ini memberitahu kita bahawa apa pun keadaan kita, Tuhan tetap ada bersama kita,” terang uskup.
Kehadiran Tuhan dalam tiga perkara
Dalam masa Paska ini, Uskup Cornelius mengajak umat untuk membaharui dan menetapkan keyakinan terhadap kehadiran Tuhan terutama dalam Sabda, Ekaristi dan Alam ciptaanNya.
“Ambil masa setiap hari untuk membaca, mendengar dan merenung Sabda Tuhan kerana Tuhan hadir melalui SabdaNya dan Sabda ini adalah pelita dan cahaya kepada perjalanan hidup kita.
“Kehadiran Tuhan juga tentu sekali melalui Ekaristi kerana itulah yang diturunkan Yesus kepada kita,” kata uskup, dan bertanya adakah umat benar-benar peka bahawa Yesus sungguh-sungguh hadir dalam Ekaristi ataupun kerana undang-undang gereja mewajibkan kita menyertai perayaan Ekaristi ataupun kerana umat hanya tertarik kepada ritusnya.
Satu perkara yang jarang kita ingat dan jarang kita terima sebagai satu kenyataan kata Uskup Cornelius adalah kehadiran Tuhan di dalam alam ciptaanNya.
Uskup mengajak semua agar peka terhadap kehadiran Tuhan di dalam alam ciptaanNya, dan menjadikan ini sebagai satu budaya dalam hidup seharian serta mengajarkan kepada anak-anak bahawa Tuhan hadir melalui alam ciptaanNya.
“Jangan kita menjadi agen pembunuh kepada segala yang kita nikmati seperti tumbuh-tumbuhan, air, udara, binatang dan lain-lain, sehingga Tuhan tidak dapat hadir lagi di dalamnya.
Uskup memberi contoh apabila dia melalui jalan-jalan di kampung, dia melihat banyak penderitaan binatang, “Dari tepi jalan, kadang-kadang saya melihat banyak penderitaan contohnya anjing berkurap yang tidak cukup makan tapi manusia tetap mahu memelihara anjing. Kalau kita peka terhadap kehadiran Tuhan, semua ini tidak akan berlaku,” katanya.
Uskup memberkati bijih benih dan pokok untuk Hari Bumi ke-50
“Di dalam keuskupan Keningau, apa yang kita harapkan ialah Satu Keluarga, Satu Pokok. Apa yang penting sebagai umat ialah kita sentiasa peka terhadap keadaan bumi pada masa ini dan kita mengambil tindakan menangani perubahan iklim dan satu cara memang melalui penanaman pokok.
Uskup Cornelius kemudian memberkati bijih benih dan pokok-pokok yang diletakkan di hadapan altar, dan para keluarga juga melakukan hal yang sama di rumah masing-masing.
“Bijih benih dan pokok ini akan ditanam menjadi tumbuhan yang mampu menyumbang ke arah pemulihan iklim bumi, tempat tinggal kita bersama,” kata uskup.
Selesai Misa online, video Hari Bumi ke-50 tahun 2020 Keuskupan Keningau ditayangkan. – Linda Edward
This Post Has 0 Comments