TERAWI – Seramai 40 kanak-kanak telah menerima Sakramen Pembaptisan pada…
PESTA KHABAR GEMBIRA: “Jangan takut, tiada yang mustahil bagi Tuhan”
KENINGAU – “Jangan takut, tiada yang mustahil bagi Tuhan,” kata Bishop Cornelius Piong merujuk kepada keadaan pandemik coronavirus yang kian merebak di seluruh dunia. Dia bercakap semasa Misa pagi meraikan Pesta Khabar Gembira kepada Perawan Maria disiar langsung dari Katedral St Francis Xavier pada hari ini 25 Mac.
Berikut adalah homili penuhnya:
“Dalam peristiwa Khabar Gembira ini, apabila Bonda Maria yang dikunjungi oleh malaikat Gabriel, mendengar yang dia ditawarkan menjadi Ibu kepada Yesus, ini bukanlah satu perkara yang mudah dia terima dan dia merasa ragu-ragu kerana memang sukar untuk difahami oleh dia.
“Tetapi satu pesan yang saya rasa membuatkan Maria bersetuju dengan tawaran itu ialah pesan dari malaikat, dan tentu sekali dari Tuhan juga, yang berkata “Jangan takut”.
“Jangan takut, taruhlah keyakinan kepada kuasa Tuhan kerana bagi Tuhan tiada apa yang mustahil” – BCP
“Apabila pesan itu sudah diterima oleh Maria, maka dia menaruh keyakinan kepada rencana Tuhan itu dan maka itu rencana penyelamatan Tuhan itu terkabul. Rencana penyelamatan Tuhan ini sudah lama dirancang oleh Tuhan untuk manusia.
“Dalam keadaan yang kita alami pada masa ini, banyak perkara yang menakutkan disebabkan pandemik coronavirus. Kita tidak faham dan kita tidak tahu apa akan jadi kepada kita. Memang banyak orang dan banyak keluarga sedang mengalami ketakutan. Dua minggu, cukup atau tidak? Tapi mungkin tidak cukup untuk kawalan.
“Maka itu marilah kita seperti Bonda Maria, berpegang kepada pesan “Jangan takut”. Kalau kita fikir panjang tentang bagaimana dan apa yang akan terjadi, ya “Jangan takut” itu maksudnya kita menaruh keyakinan kepada kuasa dan kasih Tuhan. Seperti kata Injil hari ini, bagi Tuhan, tiada sesuatu yang mustahil.
“Mohon agar Roh Kudus sentiasa menguasai pemikiran kita kerana dia adalah penolong kita.” – BCP
“Maka itu dalam keadaan ini, pertama marilah menaruh keyakinan kita bahawa Tuhan yang sudah mengungkap rencana penyelamatanNya itu dengan mengutus puteraNya, tetap hadir dan menyertai kita, walau apa pun.
“Kedua, rencana penyelamatan ini disertai oleh kuasa Roh Kudus, maka itu bagi kita dalam hidup seharian, jangan lupa memohon Roh Kudus agar sentiasa menguasai pemikiran kita kerana dia adalah penolong kita. Dalam keadaan ini, dia akan mengajar kita dan akan mengingatkan kita kehendak dan ajaran Yesus.
“Ketiga, dalam keadaan yang kita hadapi ini, marilah kita yakin dan percaya bahawa Maria yang sudah menjadi saluran kehadiran Tuhan dari awal bagi kita, pasti akan menolong kita. Seperti yang dilakukannya di masa-masa lalu sehingga masa kini.
“Marilah baharui dan tetapkan keyakinan kita kepada penyertaan Tuhan dan pertolongan Bonda Maria dan kita yakin pandemik coronavirus ini pasti akan diatasi.” – BCP
“Di dalam Injil, kita boleh membaca bagaimana Bonda Maria menaruh perhatian kepada keperluan peribadi, terutamanya keperluan Elisabet, saudarinya yang sedang mengandung, yang memerlukan bantuan. Maria bergegas ke pergunungan ke rumah Elisabet utk membantu dia.
“Kedua kita juga yakin bahawa Bonda Maria menolong kita. Kita dapat lihat dalam peristiwa di Kana, di mana pasangan merayakan perkahwinan tetapi kehabisan wain. Maria peka terhadap keperluan itu dan dia datang kepada Yesus dan memohon bantuanNya.
“Ketiga Maria sentiasa hadir dan berdoa dan sentiasa bersama komuniti. Dengan ini, marilah kita baharui dan tetapkan keyakinan kita kepada penyertaan Tuhan dan kepada pertolongan Bonda Maria dan kita yakin coronavirus ini akan diatasi kerana bagi Tuhan, tiada yang mustahil.” – Linda Edward
This Post Has 0 Comments